arrowenvelopefacebookinstagramlinked-intwitteryelpyoutube

Bagaimana Yelp Membantu Anda Menemui Perniagaan Tempatan Yang Tepat

Jutaan orang menggunakan Yelp setiap hari untuk mencari perniagaan tempatan yang hebat. Kebanyakan daripada mereka tidak terfikir pun bagaimana ulasan yang mereka baca cenderung untuk meramalkan pengalaman luar talian mereka. Mereka hanya tahu yang ia berfungsi. Baguslah, kerana itulah yang kami usahakan secara gigih.

Tetapi mungkin ada yang tertanya-tanya – bagaimana ia berfungsi? Nah, kami hasilkan video yang kool ini untuk menjelaskannya.

Sebagai permulaan, bayangkan yang anda cuba mencari restoran baru yang hebat di bandar, sebelum kewujudan Yelp. Anda mungkin akan cuba mendapatkan seberapa banyak mungkin saranan secara lisan. Kemudian anda perlu menyaringnya, sambil memikirkan bagaimana anda harus menilai setiap satu. Anda mungkin akan percayakan saranan daripada mereka yang telah mencuba setiap tempat di bandar, dan daripada orang yang bercitarasa sama dengan anda, berbanding saranan daripada orang yang jarang keluar makan, orang yang kelihatan rapat dengan pemilik kedai, yang mungkin akan berat sebelah saranannya, atau orang yang anda baru sahaja bertemu dan tidak begitu mengenalinya.

Secara ringkasnya, begitulah caranya Yelp berfungsi. Setiap hari perisian automatik kami akan menyemak lebih daripada 47 juta ulasan yang telah dikemukakan kepada Yelp untuk memilih ulasan yang paling berguna dan boleh dipercayai untuk membantu anda mencari perniagaan yang menepati keperluan anda. Tidak seperti laman web lain, pendirian kami adalah berlandaskan kepada kualiti mengatasi kuantiti apabila ianya berkaitan dengan ulasan. Hasilnya, kami hanya mencadangkan kira-kira tiga perempat daripada ulasan yang telah kami terima. Kebanyakan masa, ulasan ini ditulis oleh ahli-ahli aktif di dalam komuniti Yelp dan dari mereka yang kami kenali dan yakini.

Ulasan yang tidak disarankan masih boleh dilihat melalui pautan pada bahagian bawah laman profil setiap perniagaan, tetapi ia tidak difaktorkan ke dalam rating bintang keseluruhan atau bilangan ulasan perniagaan tersebut.

Dan bagaimana pula dengan ulasan yang lain? Mengapa ada yang tidak disarankan? Dalam usaha untuk memastikan yang kandungan kami bermanfaat dan boleh dipercayai, kami cuba untuk tidak mengetengahkan ulasan yang ditulis oleh pengguna yang tidak kami kenali, atau ulasan yang mungkin berat sebelah kerana mereka telah diminta daripada ahli keluarga, rakan-rakan, atau pelanggan kegemaran. Kami juga cuba untuk menapis ulasan yang mungkin telah ditulis atau dibeli oleh pemilik perniagaan itu bagi membantu melonjakkan nama mereka sendiri atau untuk menyakiti pesaing. Dan kami juga cuba mengelak daripada menyiarkan ulasan yang mengandungi kata-kata cacian atau kemarahan melampau yang tidak bermanfaat.

Perisian saranan kami dijalankan secara terus-menerus dan membuat penambahbaikan apabila ia memperolehi maklumat lanjut tentang sesuatu ulasan atau para pengulas. Oleh itu, saranan ulasan bagi setiap perniagaan akan berubah dari masa ke semasa.

Adalah penting untuk anda ketahui bahawa kami memberikan layanan yang sama kepada para pengiklan dan bukan pengiklan: tiada siapapun mendapat layanan istimewa. Anda akan menemui ramai pengiklan Yelp mendapat ulasan yang negatif, dan ramai bukan pengiklan dengan rating yang cemerlang. Perisian saranan itu adalah automatik sepenuhnya agar ia boleh menggunakan piawaian objektif yang sama kepada setiap perniagaan dan setiap ulasan tanpa boleh digubal semula mengikut citarasa peribadi sesiapa.

Pendekatan Yelp untuk hanya menyarankan ulasan yang paling bermanfaat dan boleh diyakini telah menyediakan perkhidmatan yang amat baik kepada pengguna sehingga kini, memandangkan lebih daripada 100 juta pengguna melayari laman web kami setiap bulan.

Jadi, bagi mereka yang kadangkala tertanya-tanya bagaimana Yelp seolah-olah tahu jenis maklumat yang mereka perlukan, kami telah meletakkan satu nota peringatan pada bahagian atas setiap penyenaraian perniagaan bahawa ulasan yang dipaparkan adalah ulasan yang kami sarankan, ulasan yang menjadikan Yelp sebagai rakan tempatan yang boleh anda yakini.